Selasa, 31 Julai 2012

Karangan Berpandu 2 - CARA MENINGKATKAN DISIPLIN MURID




          Disiplin merupakan kunci kelicinan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah. Oleh itu, pelbagai cara perlu dilakukan untuk meningkatkan disiplin murid.
          Guru kaunseling seyogianya menjalankan sesi kaunseling dan mengadakan kursus kaunseling akhlak. Dengan wadah ini, murid yang bersahsiah mulia dan berdisiplin dapat dilahirkan sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
          Sementara itu, pengawas sekolah patut membuat rondaan di kawasan sekolah, justeru mencatatkan nama murid yang melanggar peraturan sekolah. Oleh sebab itu, guru disiplin harus merotan mereka agar mereka sedar bahawa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
          Seterusnya, pihak sekolah sepatutnya memberikan surat amaran demi mengingatkan ibu bapa tentang kesalahan yang dilakukan anak mereka. Melalui saluran tersebut, ibu bapa dapat bekerjasama bagai aur dengan tebing dengan pihak sekolah.
          Tuntasnya, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk menjadikan sekolah sebagai tempat belajar yang kondusif. Saya percaya bahawa cara tersebut dapat membentuk pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara di samping Wawasan 2020 mampu direalisasikan.

Khamis, 26 Julai 2012

Karangan Berpandu 1 - Langkah Mengatasi Kenaikan Harga Barang di Pasaran


          Kini, harga barangan semakin meningkat justeru meruncingkan masyarakat kita. Oleh itu, senario ini mesti dikawal dengan langkah-langkah berikut.

           Pihak kerajaan seyogianya mengenakan denda kepada peniaga yang tamak kerana mereka bersikap seperti menangguk di air keruh. Misalnya, sesetengah peniaga menaikkan harga barangan sewaktu kekurangan stok di pasaran. Natijahnya, masyarakat yang kesempitan wang bagai ayam di kepuk mati kelaparan kerana berbelanja besar dalam membeli barangan.

           Seterusnya, pemeriksaan pihak berkuasa merupakan langkah penting untuk membendung masalah kenaikan harga barang. Tamsilnya, mereka patut membuat pemeriksaan terkejut di premis perniagaan di samping memantau harga barangan. Melalui wadah ini, peniaga tidak mempunyai kesempatan untuk mencekik leher pengguna.

          Sementara itu, pihak kerajaan harus menghentikan pengimportan barangan. Masyarakat sewajarnya menyokong barangan buatan Malaysia dan sedar bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

           Konklusinya, kenaikan harga barang dapat dikawal sekiranya semua pihak berganding bahu untuk menyelesaikannya. Dengan ini, kita hendaklah berpegang pada prinsip bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
                                                                                                   
(126 patah perkataan )